Michi's Story The Panda Contact Michi's Music

lyrics for the day..

Cukuplah sekadar hidup dengan penuh bermakna..

Anyeonghaseyo~~

Thursday, July 22, 2010

TINDAL KALAAT~~

Saya berasa sangat teruja hari ini kerana berpeluang mengetahui asal usul dan saudara-mara saya..saya tidak sangka saya merupakan keturunan masyarakat nunuk ragang..ya , besa la..urg dusun memang dikaitkan dengan nunuk ragang sebagai asal usul mereka tapi untuk mengetahui salasila keluarga daripada nenek moyang bermula dari kurun 1700..fuhh..punya la tu..hihi..so, sia mau share satu cerita ni..karangan ini telah ditulis oleh pencipta group salasila keluarga saya di facebook..here it goes.. 

Alkisah diceritakan oleh mendiang Asik bin Mesun dan dicatat pada tahun 1976 dan 1977. Konon pada lewat tahun 1700an, sebuah kampung penempatan Tindal yang disebut orang Nunuk Ragang, terletak di antara Ranau dengan Tolupid, ditimpa bala penyakit menyebabkan penduduknya hampir pupus. Nama penyakit tidak diketahui tetapi menyerupai campak atau cacar. Mereka yang masih hidup dan berdaya melarikan diri dari kampung itu ke pelbagai arah.Sekumpulan 4 beradik dan dua sahabat mengambil keputusan melarikan diri ke arah matahari terbenam. Empat beradik itu adalah Bendaharik (sebutan k ikut bunyi baku dan bukan bunyi q), adik perempuannya Lontugi dan Linggom, adik lelakinya Bual, dua orang sahabatnya, Gansaak dan Dumean.

Setelah beberapa minggu berjalan, Dumean tidak lagi larat meneruskan perjalanan dan mengambil keputusan untuk menetap di tebing sebuah sungai. Dia mengambil isteri dari penduduk tempatan dan sangat produktif sehingga dalam tempoh yang tidak begitu lama, tempat tersebut menjadi sebuah perkampungan. Orang-orang yang tinggal dalam kampung itu dikenali sebagai Kodumean dan sepanjang tebing sungai di mana Kodumean itu tinggal dikenali sebagai baang Kodumean.

Lima orang lagi meneruskan perjalanan sehingga bertemu satu penempatan yang dikenali sebagai NODO terletak di puncak sebuah bukit yang agak tinggi sehingga orang di situ boleh melihat laut nun jauh di barat. Kelima-lima mereka membuat keputusan menatap di kampung tersebut dan berkeluarga. Bendaharik mengambil seorang perempuan cantik dari kampung tersebut (nama tidak diketahui). Lontugi diambil isteri oleh Gansaak. Linggom tidak ada keturunan. Bual mengambil seorang perempuan tawanan yang ditebus oleh Bendaharik sebagai isteri.

Tidak diketahui berapa lama dari itu, Kg Nodo ditimpa bala penyakit sama seperti yang menimpa kg Nunuk Ragang. Penduduk Nodo bergelimpangan mati. Mereka yang kuat dan bertenaga melarikan diri ke pelbagai arah. Keluarga Bendaharik, Gansaak dan Bual melarikan diri sekali lagi ke arah matahari terbenam dan mereka sampai ke Pogun (nama ini diberi kemudian).

Dari Pogun mereka turun ke Dantis dan dari Dantis, sebahagian berpindah ke Minangkob. Gulongan bin Benadan dilahirkan di Minangkob. Harta peninggalan Bendaharik: Satu karung azimat (sudah dilupuskan), sebantang lembing dan sumpit (2 dalam 1), sebuah perisai diperbuat daripada banir kayu, sebilah pedang mata dua - kelihatan seperti pedang tentera Belanda dalam cerita wayang (hilang ketika berpindah dari Bunoho ke Tolus). Berdasarkan peninggalan ini, dibuat kesimp[ulan bahawa Bendaharik adalah seorang panglima perang zaman penentangan penjajahan British. Kononnya, Bendaharik begitu tangkas dan cekap bermain senjata dan boleh melompat melintasi pokok kelapa. Ketokohan sebagai penglima tentera terbukti apabila dia berkeupayaan menebus seorang perempuan tawanan dan serahkan kepada adiknya Bual menjadi isteri. Dia juga mempunyai keupayaan memimpin satu kumpulan meredah gunung ganang dan bukit bukau sehingga ke destinasinya....

Penduduk Nodo (Sebut No seperti no dalam bahasa Inggeris, Do seperti Do Re Me) dikatakan ramai kerana selalu mengadakan aramaiti serentak di beberapa buah rumah dalam kampung itu. Tetapi berapa banyak bilangan orang yang tinggal dalam kampung tersebut tidaklah di ketahui. Bila Bendaharik dan rombongannya sampai dan bertanya berapa banyak orang di kampung tersebut, tidak seorangpun yang dapat memberi jawapan dengan tepat.

Bagi memuaskan hati semua orang, orang tempatan dan pendatang, keputusan menetapkan supaya diadakan satu bancian tanpa borang, tanpa alatulis dan tanpa pembanci. Tiga alat digunakan. Sebuah wakid, sewakid padi dan sebatang pelepah daun kelapa.

Kaedah: Wakid diisi padi paras mulut wakid diletakkan di pintu gerbang. Pada awal pagi, semua orang keluar pergi mindahu. Setiap orang mengambil sebutir padi dan letakkan di kaki wakid. Seorang demi seorang mengambil sebutir padi dan meletkaknya di kaki wakid tersebut sehingga orang yang terakhir keluar dari penempatan tersebut, wakid itupun kosong. Pada sebelah petang, ketika mereka kembali ke penempatan, mereka dikehendaki mengutip sebutir padi seorang dan memasukkan ke dalam wakid. Ketika orang yang terakhir mengutuip butir padi itu, padi di kaki wakidpun habis di kutip dan wakid itupun penuh paras mulut wakid itu kembali.

Batang pelepah daun kelapa itu pula diletakkan melintang di laluan jalan tidak jauh dari wakid itu. Semua orang dikehendaki memijak batang pelepah daun kelapa itu pada masa pergi dan pada masa kembali. Ketika orang terakhir memijak, pelepah itu dah hancur berkecai. 

Dapatan daripada banci tersebut: Bilangan penduduk yang tinggal di Nodo adalah sebanyak padi dalam sebuah wakid, dan kekuatan tenaga mereka dapat menghancurkan batang pelepah daun kelapa dengan dua kali pijak setiap orang dalam tempoh sehari....

Bendaharik berkahwin dengan seorang gadis dari Kg Nodo (kini hutan rimba), mempunyai keturunan yang menatap di Kg Peturu, Tolus, Minangkob dan Saradan Tenghilan. Bual, adik bungsu Bendaharik, berkahwin dengan seorang perempuan tawanan yang di tebus oleh abangnya, mempunyai keturunan yang ramai di Kg Sukang, Tobur dan kampung-kampung sekitar. Lontugi berkahwin dengan Gansaak dan keturunan mereka mendiami Kg Sumbilingon, Pangi dan Pompod. Suku-suku lain yang mempunyai keturunan yang menatap di mukim Kelawat anatara lain: Komulus, Tolinting, Kuasa, Asan, Akap, Lais, Kula, Lamam, Ginggingon, Sakandar, Bagah. Dumean yang yang ditinggalkan di tengah perjalanan tidak dapat disusul oleh Bendaharik dan Gansaak dan sebab itu tidak dapat diketahui siapakah keturunan-keturunannya. 

No comments:

Another lyrics to share

Urang Limpas-Limpas

Panda Walk Away

Stalkers..hehe